Wednesday, 28 October 2020

Memahami dan Meneladani Sifat Nabi Muhammad SAW

Assalamualaikum wbt,

Apa khabar anak-anak semua,

Semoga semuanya sihat disamping keluarga tersayang.

Sekolah ditutup lagi akibat kes Covid19 yang tinggi di Negeri Sembilan, semoga semuanya berhati-hati dan kurangkan pergerakan ke luar rumah. 

Semoga  juga keadaan segera kembali seperti sediakala.


Jom tonton video di bawah ini. 


Perkongsian kali ini adalah bersempena Hari Maulidur Rasul - 29 Oktober 2020 / 12 Rabiulawal 1442H. Apakah kaitan dengan sifat rasul yang boleh kita contohi walaupun anak-anak masih muda remaja?

BULAN CINTAKAN RASULULLAH SAW

Menjejak bulan Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari istimewa untuk mengingati perjuangan Rasulullah SAW dan menyemai rasa cinta serta rindu kepada Rasul junjungan Allah SWT ini.

Pada waktu inilah umat Islam seluruh dunia akan membasahkan bibir dengan bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW demi mengingatinya.

Namun, disebalik itu, sambutan Maulidur Rasul ini juga mempunyai pengajaran yang tersirat, yang mana ia menggalakkan seluruh umat manusia mengingati akhlak terpuji dan keperibadian mulia baginda untuk dijadikan contoh tauladan terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan.

Selain itu, sambutan ini juga merupakan satu refleksi buat semua umat Islam dalam mengukur tahap keimanan diri sendiri saban tahun.

Akhir kata, semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini memberi 1001 makna buat umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Diharap, sambutan kali ini dapat dijadikan medan buat seluruh umat Islam untuk menghayati perjuangan baginda dan seterusnya menyebarkan lagi ajaran Allah SWT dalam usaha mendapatkan keberkatan di dunia dan akhirat.

- artikel Rasulullah SAW, utusan teragung yang perlu dicontohi (Melaka kini)

Memahami dan Meneladani Sifat Nabi Muhammad SAW

Siddiq (Jujur) 

Jujur adalah sikap yang menyatakan sesuatu sesuai dengan fakta. Kejujuran Rasulullah SAW sangat terkenal, tidak hanya diakui teman terdekatnya, bahkan diakui oleh musuhnya. Ali r.a meriwayatkan bahawa Abu Jahal berkata kepada Rasululullah SAW, ”Kami tidak mengatakan engkau dusta. Namun, kami menganggap dusta ajaran yang engkau bawa.” Beliau selalu jujur dalam perkataan dan perbuatan yang benar. 

Anak-anak juga seperti itu. Dalam situasi apapun, sifat kejujuran harus dimiliki. Tanda anak hebat adalah jujur. Sebagai contoh, seorang anak, bernama Muzaffar ditanya oleh guru. "Muzaffar, pagi tadi kamu solat Subuh?” Muzaffar menjawab dengan berbohong, ”Ya cikgu, saya solat Subuh pagi tadi.” Guru bertanya lagi, ”Pukul berapa awak solat?” Muzaffar berbohong lagi, ” Pukul 5.00 pagi, cikgu.” Guru bertanya lagi, ”Awak solat dengan siapa?” Muzaffar terpaksa berbohong lagi, ”Solat bersama ibu, nenek dan abang.” Hanya disebabkan telah berbohong sekali, Muzaffar terpaksa berbohong lagi dan lagi kerana guru terus bertanya. Jadi kita tidak boleh berbohong kerana apabila kita berbohong sekali, seterusnya kita akan mencipta pembohongan-pembohongan yang lain dan menyebabkan kita mendapatkan banyak dosa. Selain itu, kita juga orang lain akan hilang kepercayaannya kepada kita walaupun kita berkata benar. 

Amanah (Dapat Dipercayai)

Amanah merupakan sikap yang dapat dipercayai. Apabila suatu urusan diberi kepercayaan kepadanya, maka dia akan melaksanakan urusan tersebut dengan sebaik-baiknya. Sebagaimana Rasulullah SAW diberikan amanah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia, baginda melaksanakan tugas itu dengan sebaik-baiknya meskipun mempertaruhkan nyawa, jiwa, dan raga. Rasul tidak gentar untuk menjalankan amanah itu.

Ketika kita berjanji kepada ibu bapa, kawan-kawan, saudara mara, bahkan kepada musuh sekalipun kita harus tetap menepati janji. Jika kita mengingkarinya bererti kita tidak dapat dipercayai lagi. Contohnya, Siti telah diberikan amanah oleh guru untuk memberitahu kawan-kawannya yang lain untuk membuat tugasan di dalam kelas. Tetapi Siti tidak menyampaikannya kepada kawan-kawan tanpa ada alasan yang munasabah. Ini bererti Siti termasuk orang-orang yang tidak dapat dipercayai.   

Tabligh (Menyampaikan) 

Sifat tabligh yang maksudnya adalah menyampaikan, iaitu sifat wajib Nabi menyampaikan seluruh ajaran yang diterima dari Allah SWT berupa wahyu kepada umat manusia agar menjadi pedoman hidup. Rasulullah SAW menyampaikan seluruh ajaran yang diterimanya dari Allah SWT bahkan sehingga perkara yang sekecil-kecil pun agar umat manusia mempunyai pedoman didalam kehidupannya. 

Kewajiban mencontohi dan menerapkan salah satu sikap Rasulullah iaitu menyampaikan amanah yang ia dapat kepada orang yang berhak menerimanya dan tidak ada satu pun yang tidak disampaikan oleh baginda seperti yang telah diamanahkan. Contohnya, Amir disuruh oleh ibunya untuk menyampaikan dan memberikan duit kepada makcik peniaga kedai makan. Tetapi Amir tidak memberikan duit tersebut, malah menggunakannya untuk membeli barang lain yang dikehendakinya. Ini bererti Amir tidak menyampaikan amanah yang diberikan oleh ibunya kepadanya.   

Fathonah (Cerdas) 

Sifat fathonah merupakan sifat yang pasti dimiliki. Kita semua tahu betapa sulitnya tugas Nabi Muhammad SAW sehingga wajib memiliki sifat cerdas. Rasulullah saw terkenal sebagai seorang yang cerdas dan pandai, serta sangat arif dan bijaksana. Dalam mengambil keputusan dibuat dengan pertimbangan dan pemikiran yang matang. Jadi dengan meneladani sifat cerdas Rasul, kita dapat menghadapi pelbagai rintangan di dalam kehidapan sehari-hari. Terutama anak-anak.

Keempat sifat dari Rasulullah yang dipaparkan di atas, merupakan akhlak yang perlu ditanamkan di dalam diri anak sejak awal kanak-kanak dan remaja. In sha Allah anak-anak semua akan menjadi manusia yang lebih positif, anak-naka yang sentiasa cuba berbuat kebaikan dan mampu memberikan pengaruh yang baik kepada orang lain.

                                                            Sumber: https://sahabatkeluarga.kemdikbud.go.id/laman/index.php?r=tpost/xview&id=4943

Klik di sini untuk Aktiviti Interaktif Sifat-sifat Rasul 

Salam Kasih,
Cikgu Sabrina
GBKSM SMA Rantau
#stayathome
#stayhealty
#kitajagakita